Selangor, El Sky News –Ketumbit pada kelopak mata sering dikaitkan dengan mitos “penyakit orang suka mengintai”, tetapi sebenarnya ia berlaku kerana kebersihan mata yang kurang terjaga. Keadaan ini boleh menyebabkan rasa sakit, bengkak, dan mengganggu aktiviti harian, terutamanya jika keradangan menjadi lebih teruk.
Menurut Dr. Nilani Mohamad Nawi, MBBS (UM), MMed (Oph) (UM), seorang Consultant Ophthalmologist di Selgate Specialist Hospital Rawang, ketumbit berlaku akibat tersumbatnya kelenjar di kelopak mata yang dijangkiti bakteria. Dalam video di akaun TikTok beliau @dr.nilani ( https://vt.tiktok.com/ZSU36ysva/ ) , beliau menjelaskan:
“Ketumbit ni bukan disebabkan kita mengintai orang, dia sebab sebenarnya masalah kekotoran pada bahagian kita punya kelopak mata.”
Ketumbit biasanya akan sembuh sendiri dalam beberapa hari jika kawasan mata dijaga bersih dan dikompres menggunakan air suam. Namun, sekiranya ia tidak pulih selepas dua minggu, atau semakin teruk hingga menyebabkan kesakitan dan gangguan penglihatan, pesakit disarankan untuk segera mendapatkan rawatan daripada doktor mata.
Masalah kesihatan mata seperti ketumbit mungkin kelihatan kecil, tetapi boleh memberi kesan besar terhadap keselesaan dan penampilan seseorang. Oleh itu, amalan kebersihan diri khususnya di kawasan mata perlu dijadikan rutin harian supaya mata kekal sihat dan bebas daripada jangkitan. (Langit News)
