Kuala Lumpur, El Sky News – Thailand kini memasuki tempoh berkabung nasional susulan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Ratu Sirikit (Ibu Suri), isteri kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej dan ibu kepada Raja Vajiralongkorn, pada 24 Oktober 2025 pada usia 93 tahun.
Kerajaan Diraja Thailand telah mengumumkan tempoh berkabung rasmi bagi menghormati jasa dan sumbangan Ratu Sirikit terhadap negara sepanjang hayat baginda.
Sebagai tanda hormat, rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong atau memasuki Thailand disaran agar memakai pakaian berwarna hitam, putih, atau warna gelap sepanjang tempoh berkabung ini.
Menurut Presiden Persatuan Perdagangan Halal dan Pelancongan Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh, pemakaian pakaian berwarna gelap merupakan simbol kepekaan budaya dan akan dihargai oleh rakyat Thailand.
Walaupun pemakaian warna gelap tidak diwajibkan secara rasmi, ia dianggap tanda hormat dan kesopanan, terutama ketika berada di tempat awam atau kawasan yang berkaitan dengan istana diraja.
Untuk individu yang berhasrat menghadiri majlis penghormatan terakhir di istana di mana jenazah Ratu Sirikit disemayamkan, mereka dinasihatkan mengenakan pakaian formal hitam atau putih.
Pihak kerajaan Thailand turut mengarahkan semua penjawat awam dan pegawai kerajaan untuk mengenakan pakaian berkabung selama setahun penuh.
Sementara itu, aktiviti harian serta sektor pelancongan tetap beroperasi seperti biasa, namun pengunjung diingatkan agar menjaga adab dan menghormati suasana berkabung yang sedang berlangsung di seluruh negara.
