KUALA LUMPUR, LANGIT NEWS – Dalam seminar bertema Copper & Nickel sempena Asia Iron Ore Summit 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini, Meidy Katrin Lengkey, Setiausaha Agung Asosiasi Penambang Nikel Indonesia (APNI), berkongsi pandangan mendalam mengenai dasar baharu nikel Indonesia serta aspirasi negara itu untuk menguasai rantaian bekalan global bagi industri berasaskan nikel.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama Langit News, Meidy menjelaskan sasaran jangka pendek dan jangka panjang industri nikel Indonesia.
“Bagi jangka pendek, tumpuan utama kami adalah pada empat matlamat mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan hasil pelaburan, menambah KDNK di kawasan pengeluar nikel, dan mempertingkatkan kemahiran serta keupayaan teknologi,” jelas Meidy.
“Dalam jangka panjang pula, Indonesia menyasarkan untuk mengawal bahan mentah utama dalam rantaian bekalan global, khususnya bagi sektor pengeluaran bateri dan keluli tahan karat (stainless steel). Itulah visi utama industri nikel Indonesia,” tambahnya.
Keperluan Reformasi Peraturan dan Pemindahan Teknologi
Apabila ditanya mengenai perubahan paling mendesak untuk menjamin kelestarian industri, Meidy menekankan kepentingan pembaharuan dasar dan peraturan.
“Kerajaan perlu menyeimbangkan semula kapasiti pengeluaran dengan permintaan pasaran. Ketika ini Indonesia menghadapi isu bekalan berlebihan (oversupply) akibat terlalu ramai pelabur masuk tanpa menilai keperluan pasaran global,” katanya.
“Nikel perlu dijadikan kisah kejayaan (success story) contoh terbaik bagaimana Indonesia boleh mengurus dan memproses mineral lain secara berkesan. Namun yang lebih penting ialah pemindahan teknologi bukan sekadar membawa masuk pelaburan dan teknologi luar, tetapi memastikan ilmu tersebut dikongsi dan dikuasai oleh tenaga kerja tempatan,” ujar Meidy.
Beliau turut menambah bahawa pendidikan dan kerjasama antarabangsa amat penting dalam proses ini.
“Melalui program biasiswa dan kerjasama dengan universiti antarabangsa, rakyat Indonesia dapat memperkukuh pengetahuan teknologi agar mampu bersaing di peringkat profesional, bukan sekadar tenaga kerja bawahan,” katanya.
Cabaran dan Peluang dalam Pasaran Mineral Asia
Menyentuh cabaran serantau, Meidy menegaskan perlunya kawalan pengeluaran yang lebih strategik serta rundingan diplomatik yang bijak dalam menghadapi dinamika politik dan ekonomi serantau.
“Cabaran terbesar sektor keluli dan mineral di Asia ketika ini adalah bagaimana menyesuaikan kapasiti pengeluaran dengan permintaan global. Indonesia perlu membangunkan rantaian nilai lengkap, daripada bijih nikel kepada produk separa siap, seterusnya kepada produk siap,” jelas beliau.
“Matlamat kami adalah mewujudkan jenama keluli tahan karat Indonesia dan membina rantaian bekalan domestik menyeluruh daripada bijih nikel kepada sel bateri dan seterusnya ke kenderaan elektrik,” tambahnya.
Stainless Steel Jadi Pemacu Masa Depan
Melihat ke hadapan, Meidy mengenal pasti permintaan keluli tahan karat sebagai pemacu utama industri dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita perlu meneliti keperluan pasaran termasuk sektor hartanah dan pembinaan bagi menjangka tahap permintaan keluli tahan karat. Dengan memahami perkara ini, Indonesia boleh memposisikan dirinya sebagai pemain utama, malah peneraju global dalam pengeluaran keluli tahan karat berasaskan nikel,” katanya menutup wawancara.
