FIFA Kekal Hukuman Terhadap FAM dan Tujuh Pemain Warisan

Kuala Lumpur, El Sky News – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan keputusan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk itu menolak rayuan yang dikemukakan.

Keputusan tersebut mengekalkan hukuman asal termasuk denda dan penggantungan ke atas semua pihak terbabit susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan penggunaan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran pemain warisan untuk mewakili Malaysia.

Menurut laporan rasmi, FAM dikenakan denda sebanyak CHF 350,000 (kira-kira RM1.9 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,000 hingga RM11,000) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

Antara tujuh pemain warisan yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FAM dalam kenyataan menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima keputusan rasmi daripada FIFA dan sedang meneliti butiran serta alasan bertulis yang diberikan sebelum menentukan langkah seterusnya. Badan induk itu turut memaklumkan bahawa kemungkinan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sedang dipertimbangkan berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan FIFA.

FIFA memberi tempoh 21 hari kepada FAM untuk membuat rayuan ke CAS sekiranya ingin mencabar keputusan tersebut. Hukuman ini sekaligus menjejaskan kelayakan sementara tujuh pemain berkenaan untuk beraksi dalam sebarang kejohanan antarabangsa sehingga tempoh penggantungan tamat. (Langit.News)

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading