KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal, Remy Ishak, menjadi perhatian warganet selepas isterinya, Ezza Yusof berkongsi sebuah video yang memaparkan gelagat santai aktor itu ketika melakukan kerja rumah, sekali gus mencuit hati ramai di media sosial.
Menerusi video pendek yang dimuat naik di Instagram milik Ezza (@ezzarl), Remy dilihat melayan usikan isterinya ketika membantu melakukan kerja rumah. Dalam rakaman tersebut, Ezza secara berseloroh mengaitkan situasi itu dengan watak Remy dalam filem terbaharunya Mikael: Pemburu Dua Alam.
Ezza turut bergurau dengan berkata, “Mikael waktu siang tolong bini sidai kain, malam tangkap jin,” merujuk kepada karakter lakonan Remy dalam filem berkenaan. Remy kemudian memberi respon spontan dengan gaya seolah-olah menjadi pemburu jin, membuatkan suasana menjadi lebih lucu dan menghiburkan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji sikap Remy yang disifatkan sebagai suami penyayang dan tidak kekok membantu isterinya di rumah. Ada yang menyifatkan pelakon itu sebagai “Hero Malaya sebenar” kerana menunjukkan contoh yang baik dalam kehidupan berkeluarga.
Untuk rekod, Mikael: Pemburu Dua Alam merupakan filem arahan Zahir Omar yang mengisahkan seorang pegawai polis yang menyiasat kes pembunuhan kejam sebelum mendapati ia berkait dengan makhluk dari alam jin. Filem tersebut dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 April ini.
Selain Remy Ishak, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Norreen Iman, Fabian Loo dan Alicia Amin.
Perkongsian santai itu sekali lagi membuktikan bahawa sisi peribadi selebriti sering menjadi perhatian warganet, terutama apabila memperlihatkan momen sederhana dalam kehidupan seharian mereka.
