KUALA LUMPUR – Penyanyi Nubhan tampil menjelaskan spekulasi yang mendakwa dirinya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang wanita yang dikatakan lebih berusia, selepas foto percutiannya bersama wanita tersebut menjadi tular di media sosial.
Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 40, berkata wanita yang muncul dalam beberapa gambar di Instagram miliknya itu hanyalah kawan lama dan bukannya kekasih seperti yang diperkatakan oleh segelintir netizen.
Menurutnya, mereka sudah lama berkawan dan sering bercuti bersama-sama dalam kumpulan rakan lain. Malah, penyanyi itu menegaskan bahawa dia tidak pergi berdua dengan wanita tersebut seperti yang disangka oleh ramai pengguna media sosial.
Mengulas dakwaan melampau yang mengatakan dirinya terkena sihir sehingga bercinta dengan wanita lebih tua, Nubhan mengakui hanya mampu ketawa membaca komen tersebut kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang lucu. Katanya, tuduhan itu juga tidak memberi kesan kepada rakannya yang turut sama membaca komen netizen.
Sebelum ini, perkongsian foto percutian Nubhan di Vietnam yang memaparkan dirinya bersama seorang wanita telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet. Ada yang membuat andaian wanita tersebut kelihatan lebih berusia sehingga timbul dakwaan tidak berasas.
Dalam masa sama, Nubhan menegaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah terhadap kerjaya dan perniagaan, selain memberi perhatian kepada kehidupan peribadi serta masa depan anak-anaknya, bukannya memikirkan soal percintaan baharu.
