KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi berkongsi pesanan penuh makna buat anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim, dan bakal menantunya, Shalinda, selepas pasangan itu selamat mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis yang berlangsung baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Abby meluahkan rasa syukur melihat anaknya melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan pada usia 23 tahun. Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa sebagai ibu bapa, mereka menerima keputusan anak dengan hati terbuka serta sentiasa memberikan nasihat terbaik.
Dalam pesanan tersebut, Abby mengingatkan bahawa kehidupan berumahtangga bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan tanggungjawab besar. Katanya, setiap pasangan perlu saling memahami, bertolak ansur serta menerima kelebihan dan kekurangan antara satu sama lain.
“Hidup ini amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan. Bila melibatkan orang lain dalam kehidupan kita, salinglah bertolak ansur dan saling melengkapilah,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Dalam perkongsian yang sama, Abby turut memuat naik beberapa momen ketika majlis pertunangan yang berlangsung sederhana tetapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat. Malah, dia sempat berseloroh bahawa terlalu sibuk bergambar sehingga tidak sempat menjamah makanan yang disediakan oleh pihak katering.
Terdahulu, Danish Hakim yang juga anak kepada Abby Abadi dan pelakon Norman Hakim telah memilih Shalinda, seorang gadis berasal dari Singapura sebagai tunangnya. Pasangan tersebut kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan mereka dengan doa dan restu keluarga.
Perkongsian Abby itu turut meraih perhatian warganet yang rata-rata tersentuh dengan nasihatnya, selain mendoakan agar perjalanan hubungan pasangan tersebut dipermudahkan hingga ke jenjang pelamin.
