KUALA LUMPUR – Usahawan dan personaliti media sosial, Raf Yaakob, mendedahkan dirinya kini menjadi mangsa penganiayaan selepas beberapa individu, termasuk abang kepada seorang selebriti terkenal, didakwa gagal melangsaikan hutang yang mencecah nilai RM1 juta.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaakob itu meluahkan rasa terkilan apabila niat murninya membantu sebelum ini dibalas dengan tindakan memanipulasi fakta.
Dituduh Pula Berhutang
Raf mendakwa, individu yang merupakan abang kepada seorang artis itu bukan sahaja tidak membayar wang yang dipinjam, malah bertindak menyebarkan fitnah kononnya Raf yang berhutang dengan pihak tersebut.
“Abang kepada seorang artis ini berhutang dengan saya, tetapi dia beritahu orang ramai kononnya saya yang berhutang dengan dia. Siap cakap saya banyak hutang dengan orang lain,” katanya.
Lebih mengecewakan, individu berkenaan dikatakan mengelak untuk bersemuka bagi menyelesaikan kemelut tersebut secara profesional.
Nilai Hutang Cecah Jutaan Ringgit
Menurut Raf, kes melibatkan abang selebriti itu hanyalah sebahagian daripada jumlah besar yang sedang dituntutnya. Beliau mendedahkan terdapat dua lagi pihak lain yang turut berhutang dengannya, menjadikan nilai keseluruhan kerugian melebihi RM1 juta.
“Ini baru satu pihak. Kalau campur dua lagi pihak yang berhutang dengan saya, nilainya sudah lebih sejuta. Saya akan selesaikan satu persatu. Berani kerana benar,” tegasnya lagi.
Rasa Teraniaya dan Janji Kosong
Mengulas lanjut, Raf menjelaskan bahawa dia tidak sengaja memberikan pinjaman, namun situasi tersebut menyebabkan dia berasa dianiaya. Walaupun individu terlibat sebelum ini pernah mengaku salah dan berjanji untuk memulangkan wang berkenaan, janji tersebut sehingga kini masih belum ditunaikan.
Raf nekad untuk menuntut haknya dan tidak akan membiarkan perkara ini berlarutan tanpa penyelesaian yang adil.
