Kuala Lumpur, Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 39, meluahkan kekesalannya selepas dihentam netizen yang mendakwa beliau sengaja mengambil kesempatan ke atas artis yang sedang viral dengan melabelkannya sebagai ‘menangguk di air keruh’.
Dalam temu bual eksklusif bersama mStar, Aliff menegaskan bahawa setiap kerjasama promosi, reviu produk mahupun pelantikan duta yang dilakukannya adalah dirancang lebih awal dan dilakukan secara profesional dengan perjanjian yang jelas.
“Saya ramai kawan artis. Punca pendapatan mereka selain berlakon dan menyanyi adalah buat reviu dan jadi duta. Jadi netizen tak bolehlah kata saya menangguk di air keruh. Sebelum saya nak menangguk pun kami sudah berbincang, ada mas kahwin, ada akad, sama-sama sedap,” katanya tegas.
Aliff yang dikenali sebagai ‘Papa Laris’ turut berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila bekerjasama dengan seorang artis yang didakwa menaikkan harga secara mendadak dan membatalkan kontrak pada saat akhir.
“Ada yang sudah tandatangan kontrak dan saya dah bayar deposit RM30,000, tapi dia boleh batalkan pada saat akhir hanya sebab ada kes cerai. Kononnya isu cerai dia tengah tular dan dia minta naik harga,” ceritanya.
Menurut Aliff, beliau hampir mahu mengambil tindakan saman terhadap artis berkenaan sebelum akhirnya artis tersebut bersetuju memulangkan semula deposit.
Insiden ini sekali lagi menyerlahkan cabaran yang dihadapi usahawan apabila bekerjasama dengan selebriti, terutamanya ketika isu peribadi artis sedang menjadi perhatian umum.
Video penuh reaksi Aliff Syukri boleh ditonton di platform mStar.
