Tiket Konsert Ungu 3 Dasawarsa Di Kuala Lumpur Cecah 50 Peratus, Marsha Milan Diumum Sebagai Artis Jemputan Khas

KUALA LUMPUR,June, 2026 – Bahang konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur semakin dirasai apabila jualan tiket persembahan kumpulan legenda Indonesia itu dilaporkan sudah mencecah 50 peratus.

Konsert sempena ulang tahun ke-30 perjalanan seni Ungu itu dijadual berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong kumpulan berkenaan selama tiga dekad.

Sambutan memberangsangkan itu membuktikan bahawa Ungu masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan peminat muzik Nusantara, khususnya di Malaysia. Susulan permintaan yang semakin meningkat, pihak penganjur juga dijangka membuka beberapa kategori tempat duduk baharu dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat hadir menyaksikan konsert tersebut.

Lebih menarik, penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan, turut diumumkan sebagai artis jemputan khas untuk konsert berkenaan. Pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu selepas mereka mengikuti perkembangan karier seni penyanyi itu.

Ungu percaya Marsha mempunyai kekuatan vokal, karakter persembahan yang tersendiri serta emosi yang sesuai untuk berkongsi pentas dalam konsert istimewa tersebut. Kehadiran Marsha dijangka memberi warna baharu kepada persembahan Ungu di Kuala Lumpur, selain mencipta momen kolaborasi yang lebih dekat dengan peminat Malaysia.

Menurut Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah malam yang meraikan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara Ungu dengan peminat mereka di Malaysia.

Beliau turut menyifatkan penglibatan Marsha Milan sebagai gabungan yang istimewa kerana kedua-dua pihak memiliki kekuatan dari segi vokal, emosi dan keserasian persembahan.

Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara hiburan besar yang dinantikan pada tahun 2026, terutama buat peminat yang membesar bersama lagu-lagu popular Ungu sejak era 2000-an.

Dengan jualan tiket yang sudah mencapai 50 peratus, peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal sebelum kategori tempat duduk pilihan mereka habis dijual.

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading