KUALA LUMPUR, JULY 2026 – Sempena sambutan ulang tahun ke-60 siri ikonik Ultraman, sebuah pameran seni khas bertajuk “SHUWATCH with U” diadakan di PARCO MUSEUM TOKYO, Shibuya, bermula 3 Julai hingga 3 Ogos 2026.
Pameran ini dikurasi oleh galeri seni kontemporari terkenal dari Tokyo, NANZUKA, dengan kerjasama Tsuburaya Productions. Ia menampilkan 12 artis dari Jepun dan luar negara yang mentafsir semula karakter serta dunia Ultraman melalui pelbagai bentuk seni seperti lukisan, karya tiga dimensi, fesyen dan visual kontemporari.
Antara artis yang terlibat termasuk Jean Jullien, Pex Pitakpong, Roby Dwi Antono, Ron DeFelice, Ryuichi Ohira, Ryunosuke Okazaki, Stickymonger, Takeshi Masada, Tetsuya Nakamura, Vance Yuan, UFO907 dan Koichi Sato.
Sejak mula disiarkan pada tahun 1966, Ultraman telah menjadi salah satu ikon budaya pop Jepun yang paling berpengaruh, merentasi generasi dan sempadan negara. Tsuburaya Productions sebelum ini mengumumkan “Ultra Series 60th Anniversary Project” sebagai projek besar selama kira-kira dua tahun setengah bermula Julai 2025 bagi meraikan legasi siri tersebut.
Melalui pameran “SHUWATCH with U”, dunia Ultraman ditampilkan bukan sekadar sebagai siri tokusatsu, tetapi juga sebagai simbol keberanian, harapan dan kebaikan. Tiga nilai ini turut menjadi mesej utama dalam projek ulang tahun ke-60 Ultraman.
Selain pameran seni, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan edisi khas yang dijual di lokasi, termasuk T-shirt, pelekat, tote bag, poskad, keychain akrilik dan beberapa item koleksi lain. Tiket masuk pameran dikenakan pada harga 500 yen, manakala kanak-kanak sekolah rendah dan ke bawah dibenarkan masuk secara percuma.
