KUALA LUMPUR, JULY 2026 – Anugerah Industri Muzik ke-25 bakal mencipta sejarah apabila dianjurkan di Sarawak buat kali pertama sempena sambutan Jubli Perak acara pengiktirafan muzik berprestij negara itu.
Majlis anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia tersebut dijadualkan berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching. Penganjuran kali ini juga menjadi detik penting apabila acara berkenaan dibawa ke luar Kuala Lumpur selepas melalui 24 edisi terdahulu.
Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim, berkata AIM25 bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-25 penganjurannya, malah mencerminkan perkembangan industri muzik tempatan yang terus berubah mengikut peredaran zaman.
Menurutnya, AIM selama ini memainkan peranan dalam mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik Malaysia, selain terus menyesuaikan format serta kategori anugerah dengan perkembangan landskap muzik semasa.
AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik. Pengenalan kategori tersebut bertujuan memberikan pengiktirafan lebih luas terhadap kepelbagaian budaya, bahasa dan identiti muzik Malaysia.
Kategori Lagu Borneo Terbaik akan memberi penghargaan kepada karya yang menampilkan budaya, tradisi, bahasa dan identiti unik masyarakat Sabah serta Sarawak. Lagu Perayaan Terbaik pula diperkenalkan untuk mengiktiraf karya muzik yang menjadi sebahagian daripada sambutan pelbagai perayaan di negara ini.
Penganjuran edisi kali ini menerima peningkatan peruntukan Dana Kandungan Kreatif daripada Kementerian Komunikasi, iaitu daripada RM700,000 kepada RM950,000.
Daripada jumlah tersebut, pemenang bagi 15 kategori terpilih akan menerima geran sebanyak RM50,000 setiap satu. Pemenang kategori Album Terbaik pula bakal membawa pulang geran bernilai RM200,000 bagi menyokong pembangunan karya dan kerjaya muzik mereka.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak turut menyalurkan geran berjumlah RM1 juta bagi menyokong pelaksanaan AIM25 di Kuching. Sokongan tersebut memperlihatkan usaha Sarawak untuk memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu hab penganjuran acara seni dan industri kreatif negara.
TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur bagi AIM25. Acara itu turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Digital yang diuruskan oleh MyCreative Ventures.
Bagi edisi kali ini, pencalonan dibuka kepada lagu dan album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
Proses pencalonan berlangsung dari 16 Julai hingga 6 Ogos 2026. Borang pencalonan boleh diperoleh melalui platform rasmi AIM sepanjang tempoh berkenaan.
