KLFW 2026 Buka Laluan Jenama Malaysia Tembusi Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR, JULY 2026 – Kuala Lumpur Fashion Week 2026 bukan sekadar menjadi pentas peragaan fesyen, malah bakal berfungsi sebagai platform strategik untuk memperluas potensi perniagaan dan memperkenalkan jenama Malaysia kepada pasaran antarabangsa.

Buat pertama kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjalinkan kerjasama strategik dengan KLFW bagi memperkukuh promosi produk tempatan dalam segmen premium. Inisiatif itu dijangka membantu jenama Malaysia meningkatkan keterlihatan, membina rangkaian industri dan meneroka pasaran baharu.

Kerjasama tersebut dilaksanakan di bawah gerakan Jom Beli Produk Malaysia atau JOM MALAYSIA yang dilancarkan pada 27 Jun. Gerakan berkenaan merupakan transformasi daripada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diperkenalkan sejak 1984.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata JOM MALAYSIA bukan sekadar penjenamaan semula, tetapi membawa pendekatan lebih menyeluruh melalui empat teras utama, iaitu gerakan nasional, pendekatan seluruh negara, penglibatan produk tempatan dan peluasan pasaran.

KLFW 2026 dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos di Esplanade, KLCC. Acara itu bakal menghimpunkan kira-kira 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen dan lebih 20 rakan strategik industri.

Selain pertunjukan fesyen, acara berkenaan turut merangkumi pameran jenama, sesi padanan perniagaan, kerjasama industri serta aktiviti penglibatan bersama pemain dalam sektor fesyen dan gaya hidup. Pendekatan itu membolehkan pereka serta usahawan berhubung secara langsung dengan pelabur, media, pembeli dan rakan niaga berpotensi.

Antara tarikan utama tahun ini ialah segmen khas Fashion Forward Batik Malaysia, yang akan mempersembahkan 30 rekaan eksklusif hasil karya 10 pereka fesyen tempatan.

Koleksi tersebut menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang diterjemahkan melalui rekaan moden serta kontemporari. Persembahan itu bertujuan membuktikan bahawa warisan tempatan mampu memenuhi cita rasa pengguna dalam pasaran premium dan antarabangsa.

Kerjasama antara KPDN dan KLFW juga dilihat berpotensi menarik pelaburan, memperluas peluang perdagangan serta memperkukuh keseluruhan ekosistem fesyen Malaysia. Platform bertaraf antarabangsa seperti KLFW memberi peluang kepada perniagaan tempatan untuk menguji kebolehpasaran produk dan memahami kehendak pengguna dalam segmen yang lebih luas.

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading