KUALA LUMPUR, OGOS 2026 — Penyanyi Aina Abdul bakal mencipta satu lagi pencapaian dalam kerjayanya apabila dipilih sebagai wakil Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.
Pemilihan itu hadir selepas Aina mencatat kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) apabila memenangi Persembahan Terbaik menerusi lagu Kamu, selain menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee hasil undian peminat.
Persembahan Kamu di AJL40 mencuri perhatian menerusi konsep visual yang sarat simbolik, termasuk elemen gunung berapi yang menggambarkan emosi semakin memuncak. Persembahan tersebut turut diperkuat dengan penggunaan prop, pergerakan pentas dan vokal penuh penghayatan.
Lagu Kamu merupakan karya keempat dalam album sulung Aina, Imaji. Lagu berentak pop R&B itu membawa kisah mengenai seseorang yang pernah menjadi sumber ketenangan sebelum meninggalkan kenangan yang menyakitkan.
Identiti Aina yang terkenal dengan persembahan berkonsep serta gabungan muzik, fesyen dan visual menjadikan pemilihannya sebagai wakil Malaysia antara perkembangan penting dalam perjalanan seni penyanyi tersebut. Pemilihan wakil negara dibuat menerusi barisan juri profesional.
Eurovision Song Contest Asia 2026 dijadual berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, jam 9 malam, menghimpunkan penyanyi berbakat dari seluruh Asia dalam sebuah acara muzik secara langsung selama dua jam.
Penonton di Malaysia boleh menyaksikan pertandingan tersebut secara langsung menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton, sekali gus berpeluang menyaksikan Aina membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
