Joniston Tempelak Pihak Lawan: Tuduhan Rasuah Hanya ‘Peluru Politik’ Untuk Lemahkan PBS

KIULU, El Sky News – Seolah-olah politik Sabah belum cukup drama, kini muncul “episod baru” tuduhan rasuah yang tular lewat video melibatkan Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS). Namun menurut Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, video itu tidak lebih daripada “trailer politik” menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17. 

Joniston, yang tampil seperti watak utama dalam sidang media penuh semangat, meminta semua ahli PBS untuk tetap tenang, fokus, dan jangan termakan dengan “skrip lawan” yang katanya bertujuan mengganggu jalan cerita utama menjelang PRN pada 29 November.

“Rakan seperjuangan (Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Jahid Jahim) kita telah memberikan penjelasan mereka mengenai perkara itu, dan saya percaya pemimpin kita di semua peringkat serta ahli dan penyokong kekal berjuang bersama. Kami menganggap ini (dakwaan rasuah) agenda bermotifkan politik bertujuan melemahkan parti dan kita tidak boleh terganggu,” katanya. seolah-olah sedang memberi ucapan penyemangat di akhir babak penting.

Menurut Joniston, yang juga ADUN Kiulu, PBS kekal berpandukan nilai “akauntabiliti, kejujuran, dan ketelusan” tiga kata ajaib yang sering diulang dalam setiap musim politik Sabah.

“Walaupun pihak tertentu cuba menjadikan isu ini sebagai ‘peluru’ politik, PBS akan terus memberi tumpuan kepada perkara penting, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka,” katanya, seperti protagonis dalam drama politik penuh tekad.

Joniston turut menegaskan bahawa kepercayaan rakyat bukan diperoleh dengan slogan semata-mata, tetapi melalui tindakan, integriti, dan perkhidmatan yang konsisten.  PBS katanya, akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan serta peluang sampai ke setiap pelosok Sabah menerusi pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kami percaya rakyat akan menilai GRS berdasarkan rekod prestasi yang sudah terbukti, bukan berdasarkan perkara tidak benar yang disebarkan oleh pihak lawan. Fakta dan angka tidak berbohong… di bawah GRS, Sabah mencatatkan hasil tertinggi, bukti jelas pengurusan yang bertanggungjawab,” katanya, yakin angka-angka itu juga mampu memenangi hati penonton politik.

Terdahulu, sejak dua hari lalu, dua video perbualan tular memperlihatkan individu yang dipercayai Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Jahid Jahim, berbicara dengan seorang lagi individu yang mendakwa memberi sejumlah wang berkaitan lesen cari gali menjadikan suasana politik Sabah lebih mirip drama cari gali isu daripada sekadar berita biasa.

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading