Drama Jatuhkan Muhyiddin Gagal

Syah Alam, El Sky News Insiden kekecohan yang tercetus ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU pada Sabtu lalu menjadi bukti bahawa parti itu sedang dilanda kemelut dalaman yang lebih panas daripada sambal belacan di waktu sahur.

Lebih khusus lagi, ia membabitkan pimpinan di peringkat akar umbi yang nampaknya sudah mula gatal tanganmahu menekan butang reset kepimpinan. Desakan meminta Presiden BERSATU merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin atau lebih mesra disapa “Abah” supaya berundur daripada menerajui parti sendiri memberi isyarat jelas bahawa ada pihak dalaman yang mungkin sudah tidak tahan dengan gaya kepimpinannya.

Lebih drama lagi, desakan itu kedengaran sewaktu Abah sedang berucap. Bayangkan tengah serius cakap pasal hala tuju parti, tiba-tiba dari belakang kedengaran, “Abah turun!” Situasi yang sepatutnya jadi pentas semangat parti, berubah jadi sesi luahan rasa tidak puas hati gaya terbuka. Ironinya, Abah yang dulu dipecat daripada UMNO pada 2015 dan digulingkan daripada kerajaannya sendiri pada 2021, kini berdepan pula dengan kebisingan daripada rumah sendiri. Watak tenangnya sedikit goyah, wajahnya yang biasanya penuh senyum “abah-abah” berubah sugul di atas pentas macam bapa tengok anak gaduh rebut remote TV.

Jelas, Ahli Parlimen Pagoh itu tak mampu lagi menyembunyikan rasa kecewanya terhadap insiden di depan mata sendiri. Tapi biasalah, dalam politik, kalau bukan lawan yang cucuk, kawan sendiri pun boleh jadi penyuntik vaksin perpecahan. Seperti parti lain, BERSATU pun ada pasang surutnya. Tapi kali ini, ombaknya agak tinggi cukup untuk membuatkan bot politik Abah sedikit bergoyang. Desakan supaya beliau berundur meletakkan parti yang baru berusia sembilan tahun itu di satu persimpangan sama ada mahu terus kukuh sebagai pembangkang yang stabil, atau terus meluncur ke jalan perpecahan yang lebih dahsyat menjelang PRU akan datang.

Kalau diteliti dari awal, kemelut ini tak muncul tiba-tiba. Ia sudah berakar sejak PRU ke-15 lagi. Ketegasan Abah yang menolak mentah-mentah sebarang perbincangan dengan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi kononnya demi prinsip, sebenarnya telah menimbulkan keresahan dalam kalangan beberapa ketua bahagian yang sudah mula rasa seperti “tak cukup oksigen politik”. Bagi mereka, prinsip bagus, tapi kalau sampai tak dapat peruntukan kerajaan dan dana parti tak turun, prinsip tu boleh terasa seperti puasa enam lama dan haus.

Isu peruntukan kepada Ahli Parlimen dan ADUN PN yang masih tergantung membuat ramai di akar umbi mula bersungut. Aktiviti parti pun terganggu; ada bahagian kata mereka nak gerak program tapi bajet tinggal “semangat juang” sahaja. Dalam keadaan macam ni, cakap sikit, semua mula pandang ke atas mencari siapa patut dipersalahkan. Maka bermulalah bisik-bisik politik yang kononnya mahu menubuhkan Majlis Eksekutif PN untuk “bantu Abah”. Tapi bau-baunya lebih macam nak cari kapten baharu untuk kapal yang masih belum karam.

Gerakan yang lebih sensasi kemudian muncul pengumpulan Akuan Bersumpah (SD). Katanya bersandar pada “Konsensus Gopeng”, satu mesyuarat misteri tapi entah kenapa semua orang tahu. Kononnya SD itu untuk memastikan peralihan kuasa dilakukan dengan “aman”. Tapi bila Abah dengar, terus beliau tepuk dahi. Dalam hati mungkin berkata: “Aku ni Presiden atau watak cameo?”

Situasi makin menarik bila Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tampil menyelamatkan keadaan. Dalam nada tegas macam hero filem, beliau menegaskan dirinya bukan sekadar penyokong nombor satu, tapi benteng hidup Abah. Hamzah siap beri amaran keras kepada semua supaya hentikan kerja cucuk-mencucuk, surat layang, dan drama dalaman yang lebih banyak daripada episod sinetron petang.

Hujung cerita, perwakilan akhirnya sepakat menamakan Abah sebagai calon Perdana Menteri mewakili BERSATU dan memberi sokongan penuh agar beliau kekal sebagai Presiden. Riuh rendah dewan dengan tepukan walaupun ada juga yang menepuk sambil scroll WhatsApp group “Gerakan SD”. Abah pun tersenyum lega, tapi senyumnya lebih kepada lega sebab belum kena guling lagi, bukan sebab semuanya selesai.

Kini, BERSATU masuk fasa pemulihan dalaman. Abah mengingatkan bahawa kalau parti nampak berpecah di depan rakyat, imej mereka sebagai government in waiting boleh jatuh. Tapi dengan semua drama ni, rakyat mungkin dah anggap PN sebagai government in waiting… tapi menunggu siapa yang kalah dulu.

Walau apapun, PN masih pegang sokongan kuat pengundi Melayu, dan kini sedang berusaha meraih undi bukan Melayu. Tapi kalau drama dalaman ni berterusan, bukan undi yang datang malah yang datang mungkin hanya “rating tinggi” sebab drama politik Malaysia memang tak pernah gagal buat rakyat terhibur.

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading