Legenda Muzik L. Shankar Bakal Gegarkan Istana Budaya Menerusi Konsert Beyond Words

KUALA LUMPUR, OGOS 2026 — Peminat muzik tanah air bakal menyaksikan satu persembahan istimewa apabila legenda muzik dunia L. Shankar hadir ke Malaysia untuk menjayakan konsert Beyond Words – International Mastery Meets Malaysian Artistry di Istana Budaya pada 22 Ogos 2026.

Shankar, 76, bukan nama asing dalam dunia muzik antarabangsa. Beliau merupakan pemain double violin, vokalis, komposer serta pencipta instrumen 10-string Double Violin, selain pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Frank Zappa, Phil Collins, Bruce Springsteen dan Jonathan Davis daripada kumpulan Korn.

Konsert satu malam itu turut mencatat sejarah sebagai persembahan antarabangsa pertama di Istana Budaya selepas venue berprestij tersebut dibuka semula.

Menariknya, Shankar tidak akan bersendirian di atas pentas. Beliau bakal bergandingan dengan maestro sitar Malaysia Samuel J. Dass, yang turut dikenali sebagai “Sultan of Sitar”, bersama beberapa pemuzik tempatan termasuk Prakash Kandasamy, Shawalnaz Hussin, Muhardiman Ismail, Hadi Maswardi, Paavendran Langkadran, Eliezer Enan dan Marco Alonso.

Beyond Words dirancang sebagai sebuah persembahan kolaboratif yang menggabungkan muzik klasik India, jazz, rock, pop serta bunyi tradisional Malaysia. Setiap pemuzik diberi ruang membawa identiti muzik masing-masing bagi menghasilkan pengalaman yang berbeza daripada konsert konvensional.

Menurut Shankar, muzik sentiasa berkembang dan generasi muda perlu diberikan ruang untuk meneruskan perkembangan seni tersebut. Beliau melihat kerjasama bersama pemuzik Malaysia sebagai peluang untuk membawa bentuk muzik itu ke tahap baharu serta membina asas kepada generasi seterusnya.

Samuel pula mengakui Shankar merupakan antara inspirasi penting dalam perjalanan muziknya, khususnya dalam menghasilkan muzik berkonsepkan fusion. Kerjasama tersebut bermula selepas Shankar menyaksikan persembahan Samuel menerusi Swarasia – The Malaysian Wave di Dewan Filharmonik Petronas pada 2024.

Konsert anjuran E2Rventures itu turut mempunyai matlamat kebajikan apabila sebahagian usaha penganjur memberi sokongan kepada SWARA Community Arts Centre, yang memberi tumpuan kepada pendidikan muzik, pemeliharaan budaya dan pembangunan bakat muda.

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading